Saturday, August 8

Insafi Hikmah Musibah

Sejak kebelakangan ini, berita mengenai kematian berpunca daripada H1N1 semakin meningkat dari semasa ke semasa. Entry pada kali ini bukannya ingin menambah lagi langkah2 untuk mencegah penularan wabak tersebut. Saya lihat sudah bermacam2 langkah yang diwar2kan oleh Kementerian Kesihatan. Tetapi saya ingin mengajak sahabat2 merenung musibah yang sedang berlaku di tanah air yang tercinta ini. Sudah menjadi keyakinan setiap Muslim yang beriman bahawa setiap rahmat dan musibah, kejayaan dan kegagalan, keuntungan dan kerugian dan sebagainya adalah daripada Allah. 


Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): "Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal." (Surah al-Taubah, ayat 51)

Ini bermakna kehidupan di dunia ini tidak sunyi daripada kemelut, krisis, musibah dan malapetaka di mana tidak seorang pun manusia akan terlepas daripadanya. Pertukaran malam dan siang menghadirkan 1001 dugaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan hidup manusia bagi menguji tahap keimanan dan ketakwaan. Malah dunia ini tidak lagi memberikan kebaikan dan keberkatan hidup kecuali kepada orang yang sedia mendengar dan menginsafi diri atau seseorang yang memanfaatkan ilmunya untuk menyampaikan kebenaran.

Justeru, setiap Muslim wajarlah merenung dan muhasabah diri atas sebarang musibah dan bencana yang menimpa. Dari satu sudut, setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukannya sehingga mengundang bala bencana daripada Allah.

Sudah menjadi kewajipan setiap orang yang beriman supaya bersabar menghadapi musibah yang melanda. Jangan berasa lemah semangat, berdukacita, berputus asa, bersedih secara berlebihan, apatah lagi menyalahkan takdir terhadap apa yang telah berlaku. Rasulullah s.a.w bersabda: "Hendaklah kamu bersungguh2 dalam perkara yang memberi manfaat kepadamu, mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan kamu merasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, janganlah pula kamu mengatakan kalau aku berbuat itu dan ini, nescaya jadi begini..." Sebaliknya katakanlah "itu adalah ketentuan Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti akan terjadi". Sebenarnya perkataan "kalau" itu membuka pintu kepada perbuatan syaitan. (Hadis riwayat Bukhari).

Tetapi ini bukan bermakna kita hanya pasrah dan menyerah bulat2 ketika berhadapan musibah itu. Ini kerana setiap rahmat dan musibah, kejayaan dan kegagalan yang datang silih berganti mempunyai hikmah yang tersurat dan tersirat. Apabila menghadapi keadaan sukar itu, amat wajar setiap Muslim memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, lebih bersimpati terhadap nasib mangsa musibah dgn meringankan kesulitan dihadapinya di samping mengambil iktibar. Rasulullah pernah berpesan kepada umatnya agar sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauhkan drp malapetaka dan musibah. Rasulullah s.a.w bersabda: "Bersihkanlah hartamu dengan zakat, ubatilah sakitmu dengan sedekah dan tolaklah bala bencana dengan doa." (Hadis riwayat Tabrani)

Bukankah doa itu sebenarnya senjata ampuh seorang mukmin pada saat2 genting, lebih2 lagi apabila ditimpa musibah di luar jangkaan ini. Siapakah pelindung dan penyelamat yang berupaya menyelamatkan dan menghindari daripada bencana selain Allah yang Maha Berkuasa. Oleh itu, setiap Muslim seharusnya melakukan solat hajat dan memperbanyakkan doa supaya dilindungi drp bencana sesuai dengan perintah Allah melalui firmanNya: Katakanlah: "Siapakah yang dapat
menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut, yang kamu berdoa kepada-Nya dengan rendah diri dengan suara yang lembut dengan mengatakan: "Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami dari (bencana) ini, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur."(Surah An'am, ayat 63)

Begitulah kehidupan manusia ini yang patut direnungi untuk dijadikan teladan. Kesimpulannya, semua malapetaka yang menimpa sepatutnya dijadikan pengajaran dan iktibar supaya kita sebagai seorang Muslim sentiasa insaf dan kembali kepada landasan yang lurus.



DOA SELAMAT DARI BALA DAN KEHINAAN

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ مِنْ جَهْدِ الْـبَلاءِ،

وَدَرَكِ الشَّقَاءِ،


وَ سُوءِ الْقَضَاءِ، وَشَمَاتَـةِ الأَعْدَاءِ



Maksudnya: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan qadha` dan kegembiraan musuh (terhadap masalahku).


DOA BERLINDUNG DARIPADA PENYAKIT MERBAHAYA

اللَّهُمَّ إِنِّي أعُوذُبِكَ مِنْ البَرَصِ،

وَالجُنُونِ، وَالجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّءِ الأَسْقَامِ

Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari penyakit sopak, gila, kusta dan keburukan berbagai penyakit yang lainnya.


0 comments:

Related Posts with Thumbnails