Thursday, July 30

Tarbiyyah Dzatiyah

Tarbiyyah Dzatiyah.... Mungkin sahabat2 sudah biasa mendengar perkataan itu tetapi bagi  saya  ianya satu perkataan yg amat asing... sekiranya "tarbiyyah" selalu juga didengari.

Alhamdulillah, Allah masih memberi kekuatan diri ini menyertai "pengisian". Mungkin nama "pengisian" lebih dekat di hati kerana ada juga sebilangan amat2 fobia dgn nama "usrah". Mungkin bagi kebanyakkan, "usrah" hanya untuk orang begini2... dan bukan untuk orang begitu2 [uh.... mengapakah ada begini dan begitu???]... walaubagaimanapon, saya masih dahagakan ilmu2 yang dpt memandu diri ini ke arah kebaikan.


Kali ini, bukan ingin membincangkan mengenai pengisian vs usrah, bagi saya sama sahaja tetapi ingin berkongsi pengisian yang saya perolehi. Apa yang menjadi keutamaan, apa tujuan kita menghadiri sesuatu majlis yang sangat mulia itu. Sekiranya sekadar pergi, dengar dan catat... sememanglah belum mencukupi. Tetapi, adakalanya ada baiknya juga, daripada buang masa, baik mengisi masa berbuat demikian. Memang tidak dinafikan kebaikannya. Mungkin semuanya berlaku pada permulaan, dan untuk hari-hari berikutnya... kita pasti mempunyai matlamat... pergi, dengar, catat, bincang, fahami, dan amalkan.... itulah sebaik-baiknya.

Apakah "Tarbiyyah Dzatiyyah" ? Tarbiyyah Dzatiyah ialah sejumlah usaha tarbiyyah (pendidikan) diri yang diberikan seorang Muslim/Muslimah kepada dirinya untuk membentuk keperibadian Islami yang sempurna di seluruh sisinya.

Daripada firman Allah, surah Al-Baqarah (ayat 138) : "Sibgah Allah... Siapa yang lebih baik sibgah-Nya daripada Allah? Dan kepadaNya kami menyembah." Erti "Sibgah Alah" adalah celupan Allah, maksudnya agama Allah... Sememangnya Islam adalah agama sebaik-baiknya dan semoga celupan Allah berada dalam diri kita. Apabila kita mengetahui indahnya Islam, kita akan sentiasa berusaha untuk mendapatkannya. Betapa nikmatnya Islam itu.

Sebenarnya tarbiyyah dzatiyah amat-amatlah penting kerana proses pendidikannya berlaku kepada individu itu sendiri. Siapa lagi yang akan mendidik kita sekiranya bukan diri kita sendiri? Malahan nanti juga kita akan dihisab mengikut amalan kita sendiri. Sesungguhnya memberi pendidikan kepada diri sendiri lebih membuahkan hasil dan perubahan. Memberi pendidikan kepada diri sendirilah yang akan mampu membina benteng pertahanan untuk melawan ragam fitnah dan pujuk rayu untuk gugur, malas, takut dengan masa depan dan berputus asa dengan realiti sekarang.

Semuanya bermula pada diri sendiri, barulah ianya memberi impak kepada orang sekeliling. Melalui Tarbiyyah Dzatiyah kita akan dapat merubah realiti masyarakat sekarang kerana sekiranya setiap individu berubah menjadi baik, insyaallah masyarakat pun akan berubah menjadi baik. Ini kerana kitalah yang menjadi komponen masyarakat. Tarbiyyah Dzatiyah ini amat mudah ia diaplikasikan, boleh dibuat secara konsisten pada setiap masa atau keadaan dan mempunyai sarana yang banyak.

Antara contohnya, menutup aurat... Sememangnya selama ini kita menutup aurat tetapi adakah kita sememangnya menjaga aurat kita sebaik-baiknya? Apabila kita berada di dalam rumah kita, sekiranya di rumah kita ada yang bukan mahram dgn kita, hendaklah kita menutup aurat kita seperti kita berada di luar rumah. Menutup aurat bukan hanya apabila berada di luar rumah. Antara contoh lain, kita selalu melengah-lengahkan solat, apabila kita melalui tarbiyyah dzatiyah, kita berusaha menunaikan solat di awal waktu. Apabila sudah mempunyai kekuatan, kita akan sentiasa istiqamah menunaikan solat di awal waktu. Kemudian, kita mengetahui kelebihan solat berjemaah, kita memilih ingin selalu solat berjemaah di surau atau masjid. Ianya memang satu kejayaan kepada diri. Semuanya bermula daripada hal2 yang kecil kemudiannya berubah secara perlahan-lahan untuk menjadi terbaik dan barulah kita tumpukan kepada hal2 yang lebih besar. Apa yang penting, kita sentiasa istiqamah setiap perubahan yang berlaku pada diri kita ini.




Daripada Abu Hurairah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sekiranya manusia mengetahui kelebihan pada seruan memenuhi saf yang pertama sehigga tidak dapat diperoleh hanya dengan mengundi, maka merekakan mengundi. Jika mereka mengetahui kelebihan mendatangi masjid seawalnya untuk Solat Jumaat, maka mereka tidak akan melambatkannya. Dan jika mereka mengetahui kelebihan mendirikan Solat Isyak dan Subuh berjemaah, maka mereka akan menunaikannya sekalipun terpaksa merangkak.

Ramai yang tidak ambil endah pada pendidikan diri ini. Di antaranya adalah kerana ketidaktahuan pada dalil-dalil Al-Quran dan as-sunnah yang mengajak kepada Tarbiyyah Dzatiyah , kelebihan dan pahala amalan-amalan salih, hasil-hasil positive pada diri sendiri di dunia dan di akhirat, dan betapa syaitan tidak pernah berhenti berusaha menjauhkan kita dari melakukan ketaatan dan kebaikan. Ramai juga yang terikat dengan dunia sehingga dunia dijadikan tujuan hidupnya, contohnya pangkat dan pernikahan, sehingga lupa pada pendidikan kepada dirinya, pembersihan, pembaikan dan pengarahan dirinya. Hasilnya, sebahagian besar kehidupannya sia-sia belaka dan lupa dasar tujuannya keberadaannya di dunia untuk beribadah kepada Allah, taat kepadaNya, bersungguh-sungguh di jalanNya dan berdakwah(mengajak) kepadaNya.

Selain itu terdapat pemahaman yang salah tentang Tarbiyyah Dzatiyah iaitu akan menyebabkan dirinya terputus dari kehidupan dan manusia serta terasing dari mereka; mengambil masa dan tenaga yang banyak; merasakan tidak perlu setelah menunaikan solat, puasa, zakat dan haji. Lingkungan tempat hidup seseorang juga mempunyai pengaruh kuat dalam hidupnya (e.g rumah, sekolah, media, etc). Lingkungan hidup yang mempunyai kesan positive akan membantu seseorang untuk istiqamah, peduli dengan tarbiyyah dan tazkiyah(penyucian) dirinya.

Pemahaman lain yang tidak tepat di mana proses pendidikan diri hanyalah untuk kanak-kanak atau para remaja, sedangkan pendidikan itu berterusan sehinggalah seseorang itu meninggal dunia. Malangnya, tidak ramai yang dapat membantu kita mendidik diri. Oleh itu wajiblah kita sendiri yang mengambil inisiatif untuk mendidik dan mengarah diri kita sendiri. Di antara masalah yang ada pada diri kita apabila hendak mendidik diri ialah tarikan antara kehendak hati kita. Ketika kita hendak berubah akan terdapat bisikan-bisikan yang akan melambatkan proses tersebut, menangguhkan keinginan untuk berubah, menunggu-nunggu hari yang paling ideal untuk kita berubah. Padahal, hari berganti hari, namun ia tidak melakukan perubahan dan kebaikan.


0 comments:

Related Posts with Thumbnails